(episod 2)
Dari sehari ke sehari, badanku semakin membesar. Aku sudahpun berumur 11 tahun. Pabila ibu mengajakku bersembahyang, aku memberi alasan untuk keluar rumah. Sementara di luar rumah, aku berbaring di tengah-tengah padang rumput berdekatan rumahku. Aku melihat ke langit. Kenapa langit itu jauh dari bumi? Aku meraut rumput yang kehijauan. Bumi ini, adakah penghujungnya?
* * *
"Ibu! jom balik rumah,"
Aku berjalan mendahului ibu melintas jalan. Suatu dentuman yang ngeri aku dengari sebelum aku rebah tidak sedarkan diri.
Sebangkitnya aku di atas katil, aku terus memanggil ibu. Aku ingin berjumpa ibu. Di dalam bilik ibu, emak saudara aku, Mak Uteh, sedang menyuap makanan ke mulut ibu. Berlari aku mendapatkan ibu dan bertanya apa yang telah terjadi. Ibu menyelak kain selimutnya dan memberitahuku bahawa kaki ibu lumpuh kedua-dua belah akibat kemalangan yang berlaku tempoh hari. Aku menangis meminta maaf dan terus menyalahkan diriku. Ibu memeluk erat tubuhku dan memujuk aku supaya berhenti menyesali apa yang telah berlaku.
"Semuanya berlaku mengikut qadak dan qadar Allah..," belum sempat Mak Uteh menghabiskan ayatnya, ibu terus menghalang.
"Tak usah kau menyebarkan cerita karut itu kepada anak aku!" tidak pernah ibu bersikap bengis sebegitu. Aku terus mendiamkan diri dalam pelukan ibu. Mak Uteh hanya menurut dan beralih ke dapur.
"Kalau kakak perlukan apa-apa, saya sedia membantu," balas Mak Uteh dalam nada yang rendah lalu pulang ke rumahnya yang hanya beberapa langkah dari rumah kami.
* * *
"Mak Uteh!" aku menjerit di luar rumah Mak Uteh. Aku ingin memohon maaf atas tindakan ibu semalam.
Seorang kanak-kanak perempuan yang sebaya denganku membuka pintu rumah. Tidak lama selepas itu, Mak Uteh tiba di belakangnya.
"Masuklah," Mak Uteh mempelawaku dengan senyuman.
"Ada apa? Ibu perlu pertolongan Mak Uteh kah?" Mak Uteh bertanya. Aku hanya menggeleng.
"Saya nak minta maaf sebab ibu berkasar dengan Mak Uteh semalam," kuluahkan jua. Mak Uteh memberikan senyuman yang paling manis pernah kulihat.
"Mak Uteh faham keadaan ibu kamu. Mak Uteh tak berdendam pun," balas Mak Uteh. Aku berasa lega.
"Ini anak Mak Uteh, Nur. Awak berdua belum pernah berjumpa bukan?" Mak Uteh menyambung. Aku sekadar memberi segaris senyuman kepada Nur lalu beralih kembali ke Mak Uteh.
"Mak Uteh, siapa itu Allah?" aku terus bertanya soalan yang sekian lama terbuku. Mak Uteh memandangku dengan rasa serba salah dan aku mengharapkan jawapan daripadanya.
4.06.2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment