4.12.2010

KucintaiMu -3-

Malam itu aku berasa tenang sekali. Kata-kata Mak Uteh masih jelas bermain di kotak fikiranku.





* * *


"Kalau nak tahu, Allah tu Tuhan sekalian alam. Hanya Dia yang layak disembah dan Dialah Yang Maha Kuasa," dalam satu nafas, Mak Uteh memberitahuku.


Aku runsing. Di manakah Allah? Aku tidak melihat sebuah patungpun di rumah Mak Uteh.


"Bagaimana Mak Uteh bersembahyang sedangkan tiada apa-apa yang boleh disembah di dalam rumah ini?" aku bertanya. Mak Uteh berfikir sejenak.


"Allah itu tidak boleh disamakan dengan mana-mana patung mahupun makhluk di dunia ini. Mak Uteh menyembahNya dengan menunaikan solat. Solat itulah satu-satunya cara untuk Mak Uteh berhubung dengan Allah," panjang lebar Mak Uteh menerangkan kepadaku. Aku sekadar mengangguk.


"Kenapa ibu tidak menyembah Allah seperti Mak Uteh?" wajah Mak Uteh berubah sedikit apabila aku mengajukan soalan itu kepadanya. Mak Uteh kelihatan menarik nafas dalam dan menghembus nafasnya bagai mencari kekuatan untuk menjawab soalanku itu.
* * *


Walaupun sudah lewat malam namun rumah itu masih terang dan kedengaran sepasang suami isteri sedang bertengkar.


"Saya tidak kira apa yang akan orang lain fikirkan. Saya tetap dengan pendirian saya untuk memeluk Islam," si suami berkata dengan lembut.


"Jika itu yang awak mahukan, saya lebih rela mati daripada terus hidup dengan celaan daripada saudara-mara kita," balas si isteri separa mengugut.


"Awak sudah gila? Bagaimana dengan anak dalam kandungan awak itu?" si suami mula cemas dengan keputusan isterinya.


"Jadi, tinggalkan Islam demi anak ini," kata si isteri. Si suami sudah berbelah-bahagi. Dia berfikir seketika.


"Walaupun saya memeluk Islam, saya janji, saya tidak akan tinggalkan awak serta anak dalam kandungan awak itu," balas si suami dengan senyuman manis serta jelingan manja. Si isteri masih memikirkan keputusan suaminya itu. Tidak lama kemudian, diapun bersetuju. Alangkah seronoknya si suami mendapat persetujuan isterinya.


Beberapa hari selepas si suami memeluk Islam, dia menyertai peperangan menentang musuh Islam. Tetapi sedihnya, si suami syahid dalam peperangan tersebut meninggalkan isterinya yang baru sahaja melahirkan anak mereka yang diberi nama Hawa.
* * *


Aku terkedu. Itulah kali pertama aku mendengar mengenai ayah. Tidak kusangka ayah mati di jalan Allah.


"Mungkin ibu Hawa masih tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan masih membenci Islam kerana ayah Hawa mati selepas memeluk Islam," Mak Uteh berkata dalam nada yang sedih.


"Islam tu apa pula?" banyak kali aku mendengar perkataan itu namun tak pula aku mengerti maksudnya.


"Islam itu agama Allah. Allah Tuhannya, Islam agamanya," Nur pula yang menjawab. Aku pula hanya mengangguk.


Aku meminta diri untuk pulang ke rumah kerana hari hampir gelap. Mak Uteh membekalkan makanan untuk aku dan ibu.
* * *


Dalam pembaringan, berbagai-bagai perkara yang aku fikirkan. Tanpa kusedari, aku sudah terlelap dengan pelbagai persoalan.