4.12.2010

KucintaiMu -3-

Malam itu aku berasa tenang sekali. Kata-kata Mak Uteh masih jelas bermain di kotak fikiranku.





* * *


"Kalau nak tahu, Allah tu Tuhan sekalian alam. Hanya Dia yang layak disembah dan Dialah Yang Maha Kuasa," dalam satu nafas, Mak Uteh memberitahuku.


Aku runsing. Di manakah Allah? Aku tidak melihat sebuah patungpun di rumah Mak Uteh.


"Bagaimana Mak Uteh bersembahyang sedangkan tiada apa-apa yang boleh disembah di dalam rumah ini?" aku bertanya. Mak Uteh berfikir sejenak.


"Allah itu tidak boleh disamakan dengan mana-mana patung mahupun makhluk di dunia ini. Mak Uteh menyembahNya dengan menunaikan solat. Solat itulah satu-satunya cara untuk Mak Uteh berhubung dengan Allah," panjang lebar Mak Uteh menerangkan kepadaku. Aku sekadar mengangguk.


"Kenapa ibu tidak menyembah Allah seperti Mak Uteh?" wajah Mak Uteh berubah sedikit apabila aku mengajukan soalan itu kepadanya. Mak Uteh kelihatan menarik nafas dalam dan menghembus nafasnya bagai mencari kekuatan untuk menjawab soalanku itu.
* * *


Walaupun sudah lewat malam namun rumah itu masih terang dan kedengaran sepasang suami isteri sedang bertengkar.


"Saya tidak kira apa yang akan orang lain fikirkan. Saya tetap dengan pendirian saya untuk memeluk Islam," si suami berkata dengan lembut.


"Jika itu yang awak mahukan, saya lebih rela mati daripada terus hidup dengan celaan daripada saudara-mara kita," balas si isteri separa mengugut.


"Awak sudah gila? Bagaimana dengan anak dalam kandungan awak itu?" si suami mula cemas dengan keputusan isterinya.


"Jadi, tinggalkan Islam demi anak ini," kata si isteri. Si suami sudah berbelah-bahagi. Dia berfikir seketika.


"Walaupun saya memeluk Islam, saya janji, saya tidak akan tinggalkan awak serta anak dalam kandungan awak itu," balas si suami dengan senyuman manis serta jelingan manja. Si isteri masih memikirkan keputusan suaminya itu. Tidak lama kemudian, diapun bersetuju. Alangkah seronoknya si suami mendapat persetujuan isterinya.


Beberapa hari selepas si suami memeluk Islam, dia menyertai peperangan menentang musuh Islam. Tetapi sedihnya, si suami syahid dalam peperangan tersebut meninggalkan isterinya yang baru sahaja melahirkan anak mereka yang diberi nama Hawa.
* * *


Aku terkedu. Itulah kali pertama aku mendengar mengenai ayah. Tidak kusangka ayah mati di jalan Allah.


"Mungkin ibu Hawa masih tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan masih membenci Islam kerana ayah Hawa mati selepas memeluk Islam," Mak Uteh berkata dalam nada yang sedih.


"Islam tu apa pula?" banyak kali aku mendengar perkataan itu namun tak pula aku mengerti maksudnya.


"Islam itu agama Allah. Allah Tuhannya, Islam agamanya," Nur pula yang menjawab. Aku pula hanya mengangguk.


Aku meminta diri untuk pulang ke rumah kerana hari hampir gelap. Mak Uteh membekalkan makanan untuk aku dan ibu.
* * *


Dalam pembaringan, berbagai-bagai perkara yang aku fikirkan. Tanpa kusedari, aku sudah terlelap dengan pelbagai persoalan.

4.06.2010

KucintaiMu -2-

(episod 2)

Dari sehari ke sehari, badanku semakin membesar. Aku sudahpun berumur 11 tahun. Pabila ibu mengajakku bersembahyang, aku memberi alasan untuk keluar rumah. Sementara di luar rumah, aku berbaring di tengah-tengah padang rumput berdekatan rumahku. Aku melihat ke langit. Kenapa langit itu jauh dari bumi? Aku meraut rumput yang kehijauan. Bumi ini, adakah penghujungnya?



* * *



"Ibu! jom balik rumah,"


Aku berjalan mendahului ibu melintas jalan. Suatu dentuman yang ngeri aku dengari sebelum aku rebah tidak sedarkan diri.


Sebangkitnya aku di atas katil, aku terus memanggil ibu. Aku ingin berjumpa ibu. Di dalam bilik ibu, emak saudara aku, Mak Uteh, sedang menyuap makanan ke mulut ibu. Berlari aku mendapatkan ibu dan bertanya apa yang telah terjadi. Ibu menyelak kain selimutnya dan memberitahuku bahawa kaki ibu lumpuh kedua-dua belah akibat kemalangan yang berlaku tempoh hari. Aku menangis meminta maaf dan terus menyalahkan diriku. Ibu memeluk erat tubuhku dan memujuk aku supaya berhenti menyesali apa yang telah berlaku.


"Semuanya berlaku mengikut qadak dan qadar Allah..," belum sempat Mak Uteh menghabiskan ayatnya, ibu terus menghalang.


"Tak usah kau menyebarkan cerita karut itu kepada anak aku!" tidak pernah ibu bersikap bengis sebegitu. Aku terus mendiamkan diri dalam pelukan ibu. Mak Uteh hanya menurut dan beralih ke dapur.


"Kalau kakak perlukan apa-apa, saya sedia membantu," balas Mak Uteh dalam nada yang rendah lalu pulang ke rumahnya yang hanya beberapa langkah dari rumah kami.



* * *



"Mak Uteh!" aku menjerit di luar rumah Mak Uteh. Aku ingin memohon maaf atas tindakan ibu semalam.


Seorang kanak-kanak perempuan yang sebaya denganku membuka pintu rumah. Tidak lama selepas itu, Mak Uteh tiba di belakangnya.


"Masuklah," Mak Uteh mempelawaku dengan senyuman.


"Ada apa? Ibu perlu pertolongan Mak Uteh kah?" Mak Uteh bertanya. Aku hanya menggeleng.


"Saya nak minta maaf sebab ibu berkasar dengan Mak Uteh semalam," kuluahkan jua. Mak Uteh memberikan senyuman yang paling manis pernah kulihat.


"Mak Uteh faham keadaan ibu kamu. Mak Uteh tak berdendam pun," balas Mak Uteh. Aku berasa lega.


"Ini anak Mak Uteh, Nur. Awak berdua belum pernah berjumpa bukan?" Mak Uteh menyambung. Aku sekadar memberi segaris senyuman kepada Nur lalu beralih kembali ke Mak Uteh.


"Mak Uteh, siapa itu Allah?" aku terus bertanya soalan yang sekian lama terbuku. Mak Uteh memandangku dengan rasa serba salah dan aku mengharapkan jawapan daripadanya.


4.04.2010

KucintaiMu -1-

(episod 1)

Aku tidak tahu mengapa, tetapi aku hanya akan menangis. Selahirnya aku di dunia ini aku menangis, pabila lapar aku menangis, jikalau sejuk aku menangis.

Setelah beberapa bulan umurku, aku sudah mula mengikut-ikut perbuatan orang di sekelilingku. Setelah beberapa tahun umurku pula, aku sudah pandai berkata-kata. Aku menanya pelbagai soalan kepada wanita itu. Sekarang aku tahu, wanita itulah ibuku, yang mengandungkan aku, yang telah melahirkan aku, yang mendidik aku. Ibu sahajalah orang yang aku kenal.


Suatu hari, aku melihat ibu terbongkok-bongkok di hadapan sebuah patung. Aku tertanya-tanya, mengapa ibu berbuat begitu? Ibu memberitahuku bahawa itulah tuhan ibu, itulah tuhan aku juga.


Setiap hari ibu menunduk dan mengharap kepada 'tuhan' kami. Aku masih tertanya-tanya, jika itu tuhan kami, kenapa ibu yang perlu mengangkutnya ke mana-mana sahaja, kenapa ibu yang perlu menghidangkan makanan kepadanya, dan kenapa ibu jugalah yang menyediakan tempat berteduh kepadanya?


Apabila aku menanya soalan-soalan itu kepada ibu, ibu hanya berdiam diri dan membiarkan aku terus tertanya-tanya.



4.03.2010

Tentang KAKI dan MUKA

Saya ada satu cerita,,
Pada satu masa, seorang lelaki berada dalam kapal terbang. Beliau ingin menunaikan solat lalu pergi ke bilik air untuk berwudu'. Oleh sebab bilik air di dalam kapal terbang terlalu sempit, beliau terpaksa membiarkan pintu bilik air terbuka bagi membolehkannya berwudu' dengan selesa. Pada masa itu pula seorang pramugari lalu di hadapan bilik air tersebut. Dia terlihat lelaki tadi mengangkat kaki ke dalam sinki. Dia pun menegur lelaki itu ;
PRAMUGARI : (dalam nada yang tinggi dan agak sombong) Minta maaf encik, perbuatan seperti itu tidak patut dibuat. Sinki itu adalah tempat untuk membasuh muka. Encik akan mengotorkan sinki itu
LELAKI : (dengan tenang) Saudari basuh muka berapa kali dalam sehari?
PRAMUGARI : (sambil memalingkan muka) dua ke tiga kali dalam sehari.
LELAKI : kalau begitu kaki saya lebih bersih daripada muka saudari kerana saya membasuh kaki sebanyak lima kali sehari.
Pramugari itu terus pergi meninggalkan lelaki tadi disebabkan oleh rasa malu yang teramat sangat.
Jadi kawan-kawan, kalau nak muka bersih macam lelaki tadi dan tak nak dimalukan macam pramugari tadi, basuh lah muka anda lima kali sehari. Lebih pun tak apa. Tapi macam mana? Senang je, solat lah lima kali sehari. Sebelum solat, kita wudu', dalam wudu' kita basuh muka. Betul bukan?